Seluruh umat Islam mengadakan sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabi’ul awwal 1442 Hijrah.
Sudah pasti hanya berlinangan air mata kegembiraan jika kita diizinkan Allah untuk berjumpa dengan Rasulullah.
Marilah kita sama-sama mengambil teladan, iktibar dan menghayati sirah perjuangan Rasulullah yang penuh dengan pergorbanan dan pengajaran demi menyebarkan agama Islam di bumi Allah SWT.
TUJUAN MENGHAYATI KEHIDUPAN RASULULLAH
Didalam menghayati sirah dan kehidupan Nabi Muhammad SAW sudah pasti kita akan dapat mengenali dan mengetahui keperibadian Baginda yang sangat terpuji sehingga kita dapat mengaplikasikannya di dalam kehidupan kita sebagai seorang Hamba Allah.
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab ayat 21).
Jika kita sangat mengasihi Baginda SAW, maka secara tidak langsung kita semestinya akan mengingati tarikh kelahiran Baginda SAW.
Tanpa mengira masa dan tempat, kita mestilah memupuk perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW yang sentiasa merindui dan menyayangi umatnya.
Sempena sambutan kelahiran Rasulullah, kebiasaanya umat Islam akan berkumpul secara berjamaah untuk melakukan amal soleh seperti tazkirah, ceramah dan lain-lain lagi.
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”
(Surah al-Maidah ayat 2).
Perbanyakkan selawat dan pujian ke atas Rasulullah SAW tanpa mengira waktu dan tempat. Janganlah semasa maulid sahaja kita berselawat tetapi selepas maulid kita melupakan.
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.”
(Surah al-Ahzaab ayat 56).
Kelebihan selawat yang disebutkan oleh Nabi SAW:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
(Riwayat al-Nasa’i)
Apa yang penting sekali ialah mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah, janganlah kita mengikut para penglipur lara dalam agama yang cuba mereka-reka apa yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
(Surah ali-Imran ayat 31).
Nama Muhammad adalah bermaksud Terpuji. Dan Rasulullah SAW sangat-sangat mempunyai sifat-sifat yang sangat terpuji yang patut kita teladani iaitu:
SIFAT SABAR
Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seorang yang amat penyabar. Abu Jahal dan teman-temannya meletakkan perut unta di bahu Baginda ketika Baginda sedang sujud menunaikan solat, selepas itu mereka pun ketawa melihat kejadian itu sambil mengejek-ejek Baginda. Walau bagaimanapun, Baginda tetap sabar atas penganiayaan itu.
"Dan bersabarlah wahai Muhammad terhadap perbuatan mereka dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."
SIFAT PEMAAF
Penduduk Taif menghalau dengan kasar sambil melempar Baginda dengan batu, tetapi semua itu dihadapi dengan sabar bahkan Rasulullah SAW memaafkan mereka.
"Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu, dan pohonlah ampun bagi mereka?"
(Surah Ali 'Imran ayat 159)
SIFAT SENTIASA BERSYUKUR
"Dari Al-Mukhairat bin Sya'bat Radiallahuanhu berkata: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mendirikan sembahyang sampai bengkak kedua kakinya, lalu ditanya kepada Baginda: Wahai Rasulullah, mengapa tuan membebani dengan hal yang demikian sedangkan Allah telah pun mengampuni dosa-dosa tuan yang telah lalu dan yang akan datang? Baginda lalu menjawab: Tidak patutkan saya menjadi hamba yang bersyukur?"
SOAL JAWAB
1) Sambutan Maulidur Rasul pada pandangan SYARIAT?
Menurut pandangan sebahagian ulamak seperti Imam al-Suyuti menyatakan bahawa amalan menyambut kelahiran Rasulullah SAW adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya, kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.
“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”.
(Riwayat Muslim)
2) Apakah amalan yang boleh dilaksanakan ketika menyambut Maulidur Rasul?
Berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:
“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.
(Riwayat Muslim)
3) Adakah sambutan Maulidur Rasul termasuk di dalam perkara bida’ah ?
Sambutan Maulidur Rasul tidak termasuk di dalam perkara bid’ah yang menyesatkan. Selagimana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.
4) Zaman Sahabat dan golongan salaf menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW?
Ketika masyarakat Islam semakin jauh dari zaman Rasulullah SAW, maka umat Islam juga semakin jauh dari ilmu dan sirah yang menceritakan tentang kehidupan Rasulullah SAW. Maka muncul para ilmuwan Islam yang ingin memupuk rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan meletakkan tarikh kelahiran baginda sebagai hari sambutan Maulidur Rasul.
Sangat tidak wajar menilai sesuatu dengan hanya beralasan para salaf tidak melakukan adat dan tradisi sambutan Maulidur Rasul tanpa melihat perbezaan dugaan yang dihadapi oleh umat Islam antara dua zaman yang berlainan ini.