LEMBUTKAN SENDI MAYAT & SYARAT SAH DOA SOLAT JENAZAH



 


LEMBUTKAN SENDI MAYAT & SYARAT SAH DOA SOLAT JENAZAH

SOALAN :
Wajibkah jenazah dilipatkan kakinya dan tangannya sebelum dimandikan? Wajib sapu minyak kat kaki dan tangan jenazah ? Doa mayat dalam solat jenazah dan apakah hukum jika lepas sudah solat baru sedar yang doa mayat dibaca pada takbir yang kedua , bukan takbir yang ketiga ?


JAWAPAN : Melembutkan segala sendi-sendi dan perlipatan jenazah adalah hukumnya sunat. Tujuan ini adalah supaya jenazah tidak mengeras selepas tiada ruhnya jadi ini akan menyusahkan tukang mandi ketika memandikannya.

Berkata Imam Abu Al-Husain Al-‘Imrani As-Syafie :

الثالث: أن يلين مفاصله، فيرد ذراعيه إلى عضديه، ثم يمدهما، ويرد أصابع يديه إلى كفيه، ثم يمدها، ويرد فخذيه إلى بطنه، وساقيه إلى فخذيه، ثم يمدهما؛ ليكون أسهل على غاسله

Artinya : “Dan sunat yang ketiga ialah bahawa melembutkan segala sendinya maka dilipat kedua lengannya kepada kedua bahunya kemudian diluruskan keduanya kemudian dilipat segala jari dua tangannya kepada dua tapak tangannya kemudian dibuka keduanya. Dan melipatkan kedua pahanya kepada perutnya dan kemudian kedua betisnya kepada kedua pahanya kemudian diluruskan keduanya semula supaya mudah atas tukang mandinya.” (Kitab Al-Bayan Fi Mazhab Al-Imam As-Syafie)
Dan tidak mengapa jika tidak dilembutkan terlebih dahulu jika hendak memandikannya dengan segera selepas keluar ruhnya itu.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini :

(وَلُيِّنَتْ مَفَاصِلُهُ) بِأَنْ يَرُدَّ سَاعِدَهُ إلَى عَضُدِهِ ثُمَّ يَمُدَّهُ وَيَرُدَّ سَاقَهُ إلَى فَخِذَيْهِ، وَفَخِذَيْهِ إلَى بَطْنِهِ وَيَرُدَّهُمَا وَيُلَيِّنَ أَصَابِعَهُ، وَذَلِكَ لِيَسْهُلَ غُسْلُهُ فَإِنَّ فِي الْبَدَنِ بَعْدَ مُفَارَقَةِ الرُّوحِ بَقِيَّةَ حَرَارَةٍ فَإِذَا لُيِّنَتْ الْمَفَاصِلُ حِينَئِذٍ لَانَتْ، وَإِلَّا فَلَا يُمْكِنُ تَلْيِينُهَا بَعْدَ ذَلِكَ

Artinya : “Dan dilembutkan segala sendinya dengan bahawa dilipat akan lengannya ke bahunya kemudian diluruskannya dan dilipat akan betisnya kepada dua pahanya dan akan dua pahanya kepada perutnya dan kemudian meluruskan keduanya semula dan melembutkan segala jari-jarinya. Dan bermula yang demikian itu tujuannya ialah memudahkan mandinya maka dari kerana sungguhnya pada badan itu selepas bercerai ruh ada tinggal kepanasannya. Maka apabila dilembutkan segala sendinya pada waktu itu nescaya jadi lembut ia. Maka jika tidak dilembutkan pada masa itu nescaya tidak mungkin lembut ia kemudian daripada itu.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)


TIDAK WAJIB SAPU MINYAK KETIKA LEMBUTKAN SENDI MAYAT

Sapu minyak kat sendi-sendi mayat bukanlah wajib , bahkan bukan juga sunat. Terlalu ramai orang salah faham berkenaan perkara ini. Tujuan sapu minyak tu sebab sendinya keras ketika hendak lipat bukannya sapu sebab orang sebelum ni dok sapu-sapu. Kalau dah mudah melipat sendi-sendinya ketika itu jadi tidak perlu kepada menyapu minyak.

Berkata Syeikh Ramli :

وَلَوْ احْتَاجَ فِي تَلْيِينِ ذَلِكَ إلَى شَيْءٍ مِنْ الدُّهْنِ فَلَا بَأْسَ، حَكَاهُ الْمُصَنِّفُ عَنْ الشَّيْخِ أَبِي حَامِدٍ وَالْمَحَامِلِيِّ وَغَيْرِهِمَا

Artinya : “Dan jikalau memerlukan ketika melembutkan yang demikian itu kepada suatu seperti minyak maka tidak mengapa. Telah menghikayatnya dari Syeikh Abu Hamid dan Al-Mahamili dan lain dari keduanya.” (Kitab An-Nihayah Al-Muhtaj)

LUPA DOA TAKBIR KETIGA

Baca doa untuk mayat adalah rukun solat jenazah , kalau tak baca maka solat jenazah tu tidak sah. Doa bagi mayat mestilah lepas takbir yang ketiga dan doa tu hendaklah khusus untuk mayat tersebut.

Berkata Imam Nawawi :

السَّابِعُ: الدُّعَاءُ لِلْمَيِّتِ بَعْدَ التَّكْبِيرَةِ الثَّالِثَةِ

Artinya : “Rukun yang ketujuh ia berdoa bagi mayat selepas takbir yang ketiga.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Berkata Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri :

الشافعية قالوا: يشترط في الدعاء أن يكون بعد التكبيرة الثالثة طلب الخير للميت الحاضر، فلو دعا للمؤمنين بغير دعاء له بخصوصه لا يكفي إلا إذا كان صبياً

Artinya : “Bermula mazhab Syafie berkata mereka itu disyaratkan pada doa itu bahawa adalah ia selepas takbir yang ketiga yaitu meminta kebaikkan bagi mayat yang hadir itu. Maka jikalau berdoa bagi sekelian orang Islam tanpa doa khusus bagi mayat itu nescaya tidak memadai melainkan jika ada mayat itu kanak-kanak.” (Kitab Al-Fiqh ‘ala Mazahib Al-Arba’ah)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus





Share iklan ini :

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "LEMBUTKAN SENDI MAYAT & SYARAT SAH DOA SOLAT JENAZAH"

Post a Comment

Langgan Update Info Jawatan Kosong2u :